
Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun berikutnya akan menampilkan penyertaan 48 buah pasukan buat julung kalinya.
Belum sempat peminat bola sepak seluruh dunia menyaksikan perebutan melibatkan 48 buah pasukan itu, timbul pula cadangan untuk menampilkan 64 pasukan pada Piala Dunia FIFA 2030.
Penambahan 16 buah pasukan itu bagi meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan paling berprestij dalam sukan bola sepak yang akan berlangsung di Sepanyol, Portugal, Maghribi serta Argentina, Paraguay dan Uruguay.
Dimaklumkan, cadangan itu dibangkitkan pada penghujung mesyuarat Lembaga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sementara itu, menurut laporan New York Times, Presiden FIFA, Gianni Infantino berjanji untuk meneliti secara mendalam cadangan pertambahan 16 pasukan lagi bagi edisi berkenaan.
Sebagai tambahan, selepas edisi 2026 dan 2030, Piala Dunia FIFA akan berlangsung di Arab Saudi pada tahun 2034.
Featured Image: FIFA Museum