
Seramai tiga gandingan beregu lelaki negara kini memasuki kelompok lapan beregu lelaki terbaik dunia.
Ini selepas beregu lelaki No.3 negara iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun meningkat sebanyak empat anak tangga dan menghuni tangga ketujuh dalam Ranking Dunia ketika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini pada hari ini.
Kedudukan ketujuh dunia itu dihuni Wei Chong-Kai Wun hasil mengumpul 68,233 mata daripada 10 kejohanan terbaik disertainya sepanjang 52 minggu lalu.
Peningkatan itu membolehkan Wei Chong-Kai Wun menyertai kelompok lapan beregu lelaki terbaik dunia bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kekal di tangga kedua dan kelima dunia masing-masing.
Sementara itu, bermula hari ini, ketiga beregu lelaki negara ini akan memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Wei Chong-Kai Wun akan memulakan kempen tersebut dengan menentang beregu China yang menduduki ranking keenam dunia, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu.
Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan akan menentang Kim Gi-jun dan Kim Sa-rang manakala Aaron-Wooi Yik, pilihan kelima, akan bertemu Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia