Gergasi Bola Sepak Thailand Kekang JDT Ke Suku Akhir ACLE
March 11, 2025 Hafizuddin Omar

Cita-cita Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta sejarah mara ke peringkat suku akhir bagi pertandingan bola sepak elit benua asia buat julung kalinya nampaknya menemui kegagalan.

Ianya susulan skuad bimbingan Hector Bidoglio itu terpaksa akur tewas tipis 0-1 secara agregat di tangan kelab gergasi bola sepak Thailand iaitu Buriram United, pada malam ini.

Pertembungan sengit yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu menyaksikan JDT tewas aksi timbal balik hasil jaringan cantik Suphanat Muenta pada minit ke-58.

Dalam perlawanan terbabit, JDT berhasil mendapatkan dua gol. Pertamanya menerusi Bergson da Silva pada awal permainan namun ianya dibatalkan selepas pengadil membuat semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Keduanya, di penghujung permainan, Jorge Obregon yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk mengheret Buriram United ke masa tambahan namun gol tersebut dibatalkan atas alasan penyerang berusia 27 tahun itu berada dalam kedudukan ofsaid.  

Terdahulu, pada aksi pertama pusingan 16 yang menemukan kedua-dua kelab di Stadium Buriram pada 4hb Mac lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan.

Hasil kemenangan ini, Buriram United yang juga pendahulu Liga 1 Thai akan meneruskan kemaraanya ke peringkat suku akhir dalam saingan ACLE 2024-25. Ianya akan berlangsung di Arab Saudi bermula dari 25hb April hingga 4hb Mei kelak.

Featured Image: AFC

Komen