All England: Zii Jia, Aaron-Wooi Yik Kandas Awal

March 12, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia nampaknya terpaksa akur menamatkan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 setakat pusingan 32 sahaja.

Ianya gara-gara pemain yang bakal menginjak usia 27 tahun itu dikejutkan oleh pemain dari Hong Kong, Ng Ka Long Angus ketika bertemu pada hari pertama kejohanan bertaraf Super 1000 terbabit.

Pertembungan itu menyaksikan Zii Jia, pilihan ketujuh, tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 16-21 dan 12-21 dalam masa satu jam dan dua minit.

Ini merupakan kemenangan pertama Angus setelah tewas lima pertemuan terakhirnya menentang Zii Jia di pelbagai kejohanan antarabangsa. 

Berdasarkan rekod, kali terakhir Angus berhasil menumpaskan Zii Jia adalah ketika bertembung di pusingan 32 Terbuka Korea 2023 yang berlangsung sekitar 20 bulan yang lalu.

Sementara itu, hari pertama All England 2025 turut menyaksikan beregu lelaki negara yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar.

Gandingan pemain berusia 28 dan 27 tahun ini pula mengalami kekalahan di tangan beregu Denmark yang menduduki ranking ke-15 dunia, Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard dengan keputusan 16-21, 21-16 dan 18-21.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd