All England: Hanya Soon Huat-Shevon Menang Pada Hari Pertama

March 12, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 menutup hari pertamanya dengan hanya satu daripada lapan wakil Malaysia melakar kemenangan sekaligus menempah tiket kemaraan ke pusingan 16.

Pemenang tunggal tersebut adalah beregu campuran No.1 negara merangkap pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai hasil menumbangkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Pertembungan keempat melibatkan kedua-dua beregu ini menyaksikan Soon Huat-Shevon, pilihan pertama, memenanginya menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 22-20, 9-21 dan 21-18 dalam masa satu jam dan tiga minit.

Kemenangan Soon Huat-Shevon ini membawa mereka bertemu beregu Scotland yang menduduki ranking ke-33 dunia, Alexander Dunn dan Julie Macpherson untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir bagi kejohanan bertaraf Super 1000 ini.

Sementara itu, tujuh lagi wakil negara yang lain seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin & Teo Ee Yi, Wan Arif Junaidi & Yap Roy King, Hoo Pang Rong & Cheng Su Yin serta Tan Kiang Meng & Lai Pei Jing tewas kepada lawan masing-masing dan ditunjukkan jalan keluar.

Untuk hari kedua, seramai enam wakil negara akan turun beraksi iaitu Goh Sze Fei & Nur Izzuddin, Man Wei Chong & Tee Kai Wun, Nur Azriyn Ayub & Tan Wee Kiong, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie & Toh Ee Wei serta Wong Tien Ci & Lim Chiew Sien.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd