Pemilik JDT Beri Bayangan Bawa Masuk Pemain Baharu

March 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim dijangka membawa masuk pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan seterusnya, demikian bayangan dikongsikan oleh pemiliknya iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail.

Kemasukan pemain-pemain baharu itu merupakan satu pelaburan bagi memperkukuhkan skuad berjulukan Harimau Selatan agar dapat bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di benua asia dan meletakkan Johor dalam peta bola sepak.

Tekad dan perancangan itu dilontarkan oleh Tunku Mahkota Ismail selepas berakhirnya kempen JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) susulan tewas kepada Buriram United 0-1 secara agregat, semalam.

“Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.”

“Kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudah pun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas.”

“Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan.” kongsi baginda menerusi hantaran akaun media sosial peribadinya.

Sebelum ini, JDT menandatangani beberapa pemain khusus untuk membantu JDT mara sejauh mungkin dalam saingan ACLE seperti Samu Castillejo, Jonathan Viera, Anselmo Moraes dan lain-lain lagi. 

Pada masa yang sama, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan rasa bangga dengan JDT yang berjuang berhabis-habisan dan menjadi satu penghormatan dan keistimewaan untuk beraksi dalam kejohanan elit asia.

Musim ini JDT berhasil mengharungi saingan Peringkat Liga dengan mencatatkan empat kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dan menempatkan diri di tempat ketiga daripada 12 pasukan. Kedudukan itu membawa mereka ke pusingan 16 bertemu Buriram United.

Featured Image: Instagram HRH Crown Prince of Johor

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd