Mickey, Sumareh Kembali Tersenarai Dalam Skuad Harimau Malaya
March 13, 2025 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap lincah, Faisal Halim kembali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan selepas kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya ketika menentang Oman pada Mac tahun lalu.

Faisal atau terkenal dengan nama panggilan Mickey tersenarai selepas meledak hatrik dalam perlawanan menentang Kelantan Darul Naim FC membantu Selangor FC mengesahkan gelaran naib juara Liga Super 2024-25.

Faisal, 27 tahun, disenaraikan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski bagi menghadapi perlawanan menentang Nepal pada 25hb Mac dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027.

Selain itu, Peter turut memanggil semula beberapa pemain lain yang tidak menyertai saingan Piala ASEAN pada penghujung tahun lalu seperti Ahmad Syihan, Shahrul Saad, Matt Davies, Corbin-Ong, Natxo Insa, Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Romel Morales, Mohamadou Sumareh.

Menyambung senarai itu ialah Quentin Cheng, Harith Haiqal, Nooa Laine, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Safwan Mazlan serta Dion Cools. 

Dimaklumkan, Peter hanya mengekalkan sembilan daripada 26 pemain daripada skuad Piala ASEAN 2024.

Kesemua pemain-pemain ini akan mula melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 17hb Mac, di Johor Bahru.

Featured Image: Selangor FC & JOHOR Southern Tigers

Komen