FAM Lancar Akaun Media Sosial Khusus Untuk Skuad Kebangsaan – Malaysia NT
March 13, 2025 Hafizuddin Omar

Revolusi Harimau Malaya yang digerakkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bukan sahaja membawakan barisan pengurusan dan kejurulatihan baharu buat skuad kebangsaan.

Terbaharu, selari dengan revolusi itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan melancarkan akaun media sosial yang khusus buat skuad berjulukan Harimau Malaya yang diberikan nama Malaysia NT.

Perkara tersebut dikongsikan oleh FAM pada sidang media Pengumuman Skuad Harimau Malaya Bagi Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Menentang Nepal di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini. 

Antara platform yang digunakan adalah Facebook, Instagram, Tiktok dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Menurut FAM, akaun Malaysia NT di platform-platform terbabit akan mula digunakan untuk berkongsikan semua aktiviti sepanjang kem latihan pusat yang bermula 17hb Mac, Isnin, di Johor Bahru – persiapan menjelang aksi menentang Nepal.

Selain itu, akaun-akaun itu juga akan digunakan untuk berkongsikan sebarang perkembangan baharu seperti senarai pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan, jadual perlawanan dan sebagainya.

Sementara itu, akaun media sosial rasmi FAM di pelbagai platform akan kekal berkongsikan sebarang aktiviti dan perkembangan baharu mengenai badan induk terbabit.

Di rantau asia tenggara, perkara sebegini telah pun dilakukan oleh negara jiran tetangga iaitu Indonesia dan Thailand serta Thailand.

Mereka mewujudkan akaun khusus untuk skuad kebangsaan masing-masing dengan jenama Timnas Indonesia, Changsuek dan The Azkals – berasingan dengan akaun milik badan induk bola sepak setiap negara berkenaan.

Komen