
Hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 menutup tirainya dengan hanya dua sahaja wakil Malaysia melakar kemenangan sekaligus mara ke pusingan 16.
Pertamanya adalah gandingan wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mengesahkan kemaraan selepas menundukkan beregu Chinese Taipei, Teng Chun-Hsun dan Yang Chu-Yun ketika bertemu di pusingan 32.
Pertembungan berlangsung selama hampir satu jam itu dimenangi oleh Pearly-Thinaah, pilihan kelima kejohanan, menerusi skor 19-21, 21-15 dan 21-13.
Hasil daripada kemenangan itu, Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan dengan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Wakil Malaysia kedua yang melakar kemaraan ke pusingan 16 pada hari kedua kejohanan adalah beregu lelaki No.1 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.
Gandingan ini mara selepas menumbangkan pasangan Korea, Kim Gi-jung dan Kim Sa-rang secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-14 dalam masa 37 minit.
Perlawanan seterusnya, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan akan berentap dengan sepasang lagi beregu Korea, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.
Sementara itu, empat lagi wakil Malaysia yang beraksi pada hari kedua kejohanan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan bertaraf Super 1000 ini ekoran tewas kepada lawan masing-masing.
Empat wakil itu terdiri daripada beregu lelaki, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun tewas di tangan He Ji Ting dan Ren Xiang Yu; beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kalah kepada Rehan Naufal dan Gloria Widjaja; gandingan Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien tumpas kepada Jesper Toft dan Amalie Magelund serta Nur Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong tidak dapat menjinakkan Kang Min-hyuk dan Ki Dong-ju.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia