
Kedah Darul Aman FC (Kedah) sedang giat berusaha untuk melengkapkan segala keperluan Pelesenan Kelab oleh Malaysian Football League (MFL) bagi supaya dapat terus beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.
Itu respon yang dikongsikan oleh pemilik majoriti bagi kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.
Kenyataan itu disiarkan bagi menjawab isu yang tular mengenai skuad berjulukan Sang Kenari terbabit tidak lagi berada dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.
“Saya dan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Pelesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MFL.”
“Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia.”
“Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa.” ujar Dr. Mohd Daud.
“Semoga kenyataan ini memberi sedikit pencerahan dan keyakinan untuk semua. Kita akan teruskan usaha tetapi hasil akhirnya adalah dalam ketentuan Allah S.W.T.”
“Saya doakan semua kita dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada pasukan kesayangan kita yang bersejarah dan dekat di hati kita.” tambahnya lagi.
Terdahulu, tular mengenai Kedah bersama-sama Sri Pahang FC, pasukan yang cukup bersejarah dalam kancah bola sepak tanah air, didakwa oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail tiada dalam saingan liga utama negara pada musim hadapan.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor mendedahkan perkara itu terjadi berikutan kemelut kewangan yang melanda kedua-dua pasukan berkenaan.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC