
Pilihan pertama kejohanan dalam sektor beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berhasil melakar kemaraan dengan bergaya ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025.
Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri melakar kemaraan tersebut dengan menumbangkan beregu Scotland, Alexander Dunn dan Julie Macpherson secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-10, malam tadi.
Kemaraan itu membawa mereka bertemu gandingan baharu dari China iaitu Jiang Zhen Bang dan Huang Dong Ping – pemain No.2 dan No.1 dunia bersama pasangan lamanya iaitu Wei Ya Xin dan Feng Yan Zhe masing-masing.
Terdahulu, Zhen Bang-Dong Ping yang diletakkan selaku pilihan kelima mara ke suku akhir selepas menundukkan beregu Chinese Taipei, Lu Ming Che dan Hung En-Tzu juga secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-17.
Pertembungan melibatkan Soon Huat-Shevon dan Zhen Bang-Dong Ping untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir bagi kejohanan bertaraf Super 1000 dijangka bermula pada jam 5.30 petang pada hari ini (waktu Malaysia).
Featured Image: Badminton Association of Malaysia