All England: Pearly-Thinaah Hanya Menang Sekali Bertemu Matsuyama-Shida
Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjadi wakil kedua dan terakhir Malaysia yang menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 selepas Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.
Kemaraan itu terhasil daripada kemenangan bergaya Pearly-Thinaah ke atas pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-14 dalam masa 43 minit di pusingan 16.
Bagaimanapun, kemaraan ke peringkat suku akhir tersebut menemukan Pearly-Thinaah dengan pasangan handalan Jepun yang sering mengalahkan mereka iaitu Nami Matsuyama dan Chiharu Shida – penghuni ranking ketiga dunia.
Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah dan Matsuyama-Shida telah bertemu sebanyak 12 kali di pelbagai kejohanan antarabangsa samada acara individu atau berpasukan sejak tahun 2020.
Pertemuan pertama yang direkodkan melibatkan Pearly-Thinaah dan Matsuyama-Shida adalah di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 yang berlangsung di Manila, Filipina.
Malangnya, Pearly-Thinaah hanya melakar satu kemenangan sahaja daripada 12 pertemuan dengan Matsuyama-Shida terbabit – kemenangan tunggal itu dicetak dalam saingan Terbuka Perancis 2022.
Manakala pertemuan terakhir pula berlangsung di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 dimana Pearly-Thinaah tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 17-21 dan 18-21.
Terdahulu, Matsuyama-Shida mara ke peringkat suku akhir All England dengan mengetepikan cabaran adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva menerusi kemenangan secara “straight set” 21-14 dan 21-19 dalam 36 minit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia