Kelab Divisyen 2 Portugal Dedah Hector Hevel Dipanggil Skuad Harimau Malaya
March 14, 2025 Hafizuddin Omar

Salah seorang daripada tiga pemain berdarah warisan yang dijangka menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F, pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 nampaknya sudah diketahui.

Individu tersebut ialah Hector Hevel Serrano, 28 tahun, pemain tengah menyerang yang beraksi bersama kelab divisyen kedua di Portugal iaitu Portimonense Futebol SAD – kelab yang sama pernah disertai oleh Safawi Rasid suatu masa dahulu.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Portimonense yang membuat satu hantaran mengumumkan Hector mendapat panggilan skuad kebangsaan Malaysia atau Harimau Malaya bersama-sama dua pemainnya lagi, Tamble Monteiro (Guinea-Bissau) dan Kristofer Kait (Estonia B-21).

View this post on Instagram

A post shared by Portimonense Futebol SAD (@portimonense_oficial)

Untuk makluman semua, Hector merupakan pemain kelahiran Voorschoten, Belanda yang turut mempunyai pasport Sepanyol.

Hector memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama ADO Den Hag yang berpangkalan di Belanda sebelum berhijrah ke Cyprus dengan menyertai AEK Larnaca.

Kemudiannya, Hector berpindah pula ke FC Andorra yang beraksi dalam kancah bola sepak Sepanyol selama hampir tiga musim sebelum menyertai FC Cartagena.

Namun begitu, jodoh Hector bersama FC Cartagena hanya bertahan setengah musim sahaja sebelum khidmatnya dipancing oleh kelab berpangkalan di China – GX Pungguo.

Pada awal Februari lalu, Hector yang juga boleh beraksi sebagai pemain tengah dan sayap kanan diumumkan sebagai pemain baharu Portimonense.

Ketika sidang media Pengumuman Skuad Harimau Malaya Bagi Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Menentang Nepal di Wisma FAM pada Khamis, ketua jurulatih, Peter Cklamovski memaklumkan tiga pemain berdarah warisan baharu, tanpa mendedahkan nama, sedang berada pada peringkat terakhir dokumentasi untuk mendapat kelulusan kerajaan.

Sekiranya selesai, mereka akan menyertai kem latihan pusat yang berlangsung di Johor Bahru pada minggu hadapan.

Selain Hector, laporan media tempatan iaitu Harian Metro turut memberikan bayangan bahawa pertahan berusia 28 tahun Sabah FK yang beraksi dalam kancah bola sepak Azerbaijan merupakan salah daripada tiga pemain berdarah warisan baharu yang akan memperkukuhkan lagi skuad Harimau Malaya.

View this post on Instagram

A post shared by Malaysia National Team (@malaysia_nt)

Featured Image: Instagram Hector Hervel Serrano

Komen