Newcastle United Bergelar Juara Selepas 70 Tahun
Hafiz Omar

Kelab yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) bersama-sama RB Sports & Media iaitu Newcastle United berjaya menamatkan kemarau kejuaraan domestik di England selepas 70 tahun.
Skuad berjulukan The Magpies bimbingan Eddie Howe menamatkan kemarau tersebut dengan merangkul kejuaraan Piala Liga atau nama komersilnya, Piala Carabao hasil menumbangkan Liverpool di Stadium Wembley pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Sambil disaksikan oleh 88,513 penonton, Newcastle United muncul juara dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Dan Burn serta Alexander Isak pada penghujung masa pertama dan awal babak kedua masing-masing.
LOOK AT THOSE SCENES 😍😍😍 pic.twitter.com/o5cwq69MTu
— Newcastle United (@NUFC) March 16, 2025
Liverpool kendalian Arne Slot yang mendahulu saingan Liga Perdana (PL) pada saat ini terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Piala Carabao hanya menjaringkan gol tunggal pada minit-minit terakhir permainan menerusi Federico Chiesa.
Kejuaraan ini pastinya dapat mengubati kekecewaan Newcastle United yang tewas 0-2 pada perlawanan akhir Piala Carabao di tangan Manchester United pada tahun 2023.
Sebagai rekod, kali terakhir Newcastle United menjulang trofi dalam saingan domestik adalah pada tahun 1955 dengan menjuarai Piala FA dengan menumpaskan Manchester City.
Bukan itu sahaja, kejuaraan ini turut mengangkat Eddie, 47 tahun, selaku pengurus kelahiran England yang pertama menjuarai salah satu kejohanan domestik – Liga Premier, Piala FA, Piala Liga – sejak Harry Redknapp menjulang Piala FA pada tahun 2008.
Eddie Howe's Black & White Army 🖤🤍#EFL | #CarabaoCupFinal pic.twitter.com/XgADH6Rcep
— Carabao Cup (@Carabao_Cup) March 16, 2025
Featured Image: Newcastle United FC