Liga Super: Kuching City, Sabah FC Rebut Imbuhan RM1.5 Juta
March 17, 2025 Hafizuddin Omar

Tumpuan dalam saingan Liga Super 2024-25 kini beralih kepada perebutan tempat ketiga setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC mengesahkan gelaran juara dan naib juara masing-masing.

Kuching City FC yang tampil buat julung kalinya dalam saingan Liga Super pada musim lalu serta Sabah FC menjadi dua kelab yang sedang bersaing dengan sengit untuk merebut tangga ketiga liga yang menjanjikan imbuhan sebanyak RM1.5 juta secara keseluruhan.

Persaingan itu bertambah sengit selepas Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak berhasil mencetak kemenangan 2-1 ke atas Selangor pada aksi ke-23 liga yang berlangsung di Stadium Negeri, pada malam tadi.

Menyumbang kepada kemenangan terbabit adalah jaringan daripada Ramadhan Saifullah (26’) dan Jimmy Raymond (85’). Sementara itu, gol tunggal oleh pasukan pelawat pula terhasil menerusi pemain tengahnya, Mukhairi Ajmal. 

Kemenangan itu sekaligus membawa skuad berjulukan The Cats menduduki tangga ketiga liga selepas beraksi dalam 22 perlawanan namun berkongsi 33 mata dengan Sabah – dipisahkan dengan jumlah perbezaan gol.

Kuching City hanya mempunyai baki dua perlawanan sahaja lagi namun usahanya untuk menamatkan saingan liga ditempat ketiga tampak mencabar dengan perlu berhadapan juara musim ini, JDT bimbingan Hector Bidoglio terlebih dahulu sebelum bertemu Negeri Sembilan FC.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung di laman sendiri dan tempat lawan masing-masing.

Sementara itu, Sabah mempunyai baki tiga perlawanan lagi bagi musim ini iaitu bertemu PDRM FC (tempat sendiri), Kedah Darul Aman FC (tempat lawan) dan Perak FC (tempat sendiri).

Sebagai rekod, Sabah menamatkan kempen Liga Super musim lalu di tangga ketiga sementara Kuching City di tangga ke-13 – kedua tercorot liga.

Featured Image: Kuching City FC

Komen