
Pemain badminton para No.1 negara, Cheah Liek Hou memulakan musim baharu tahun ini dengan cemerlang apabila merangkul kejuaraan berganda di kejohanan Badminton Para Sepanyol Antarabangsa 2025 I, pada Ahad.
Liek Hou yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-37 pada 9 Mac lalu meraih gelaran juara pertama selepas bangkit daripada ketinggalan dan menumpaskan pemain Chinese Taipei, Fang Jen-Yu menerusi skor 18-21, 21-17 dan 21-11 dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Selepas itu, gelaran juara kedua menjelama apabila Liek Hou bersama-sama Muhammad Fareez Anuar berhasil menewaskan wakil Chinese Taipei, Jen Yu dan Pui Gui Yu secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-18.
Menariknya kejuaraan tersebut mengulangi kejayaan yang dilakarnya di arena yang sama – Polideportivo Rafael del Pino, Toledo – pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kejayaannya pada kali ini diiringi dengan tempoh persiapan yang singkat serta bergelut dengan kecederaan yang dialaminya.
“Walaupun persediaan ke pertandingan ini sangat singkat tetapi saya masih dapat mengatasi tekanan dan kecederaan yang saya hadapi sejak kebelakangan ini.”
“Saya ingin berterima kasih banyak kepada Penaja baru saya dari Akisama Group Tan Sri Bernard Chang, dari DZO Dato Bryan Yong sudi menyokong karier saya.”
“Terima kasih juga kepada penaja yang masih sudi menyokong saya. Kepada penyokong setia saya, terima kasih banyak sepanjang kejohanan dan perjalanan saya yang anda semua tidak berhenti menyokong saya.” tulisnya menerusi akaun Facebook peribadinya.

Pada masa yang sama, turut mengiringi kejayaa Liek Hou dan Fareez adalah beregu kerusi roda, Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan yang merangkul gelaran juara dalam kategori WH1-WH2.
Selain itu, Ikhwan turut membawa pulang kilauan pingat perak dalam acara perseorangan lelaki WH1 selepas tewas di tangan pemain Jepun, Reo Oyama.
Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou