Safee Sali Lelong But Lawan Indonesia Final Piala AFF 2010 – Bidaan Sehingga 10 Malam
March 17, 2025 Hafizuddin Omar

Selepas membuat lelongan dua helai jersi yang disarungnya bersama Pelita Jaya FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali kini membuat lelongan terhadap salah satu but peribadinya, pada hari ini.

Lebih menarik, but yang dilelongnya itu adalah but yang digunakan ketika beliau turun beraksi bersama skuad Harimau Malaya menentang Indonesia dalam perlawanan akhir Piala AFF 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sekarang ini tiba masa untuk melepaskan kasut istimewa yang saya pakai semasa perlawanan akhir! Ini adalah simbol perjuangan, kebangkitan dan kejayaan.” 

“Kini, ia untuk anda semua, peminat saya. Tawaran tertinggi akan mendapat peluang memiliki sebahagian drpd sejarah yg telah tercipta sepanjang bersama kasut yg istimewa ini.” 

“Terutama ketika final AFF 2010 menentang Indonesia di stadium Bukit Jalil. Kasut ini jugalah yang membuat jaringan tandukan ketika itu. Jangan lepaskan peluang untuk memiliki untuk simpanan anda pula selepas ini.” tulis kenyataan di akaun Facebook, SafeeSali_10 Official. 

Peminat dan penyokong bola sepak tanah air pastinya tidak dapat melupakan persembahan cemerlang Safee dalam perlawanan terbabit dimana beliau menjaringkan dua gol membantu Malaysia mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi pertama bagi perlawanan akhir tersebut.

Paling diingati adalah jaringan keduanya dimana Safee menanduk bola hantaran cantik oleh Mahali Jasuli ketika masih melompat di udara mengalahkan penjaga gol Indonesia, Markus Haris Maulana ketika permainan masih berbaki 12 minit.

Pada edisi berkenaan, Safee juga muncul pemenang anugerah Kasut Emas susulan meledak lima gol sepanjang kejohanan terbabit. Dimaklumkan, but itu telah dibida dengan harga RM2,000 – tertinggi setakat ini – dan tempoh bidaan dibuka sehingga jam 10 malam ini (17 Mac 2025).

Featured Image: AFF Suzuki Cup

Komen