
Kempen beregu lelaki No.1 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin di Terbuka Swiss 2025 menemui titik noktahnya selepas sekadar beraksi di peringkat pusingan 32.
Ini susulan gandingan pemain berusia 27 tahun masing-masing itu dikejutkan beregu ranking ke-76 dunia dari Jepun, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita dalam perlawanan yang berlangsung pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Perlawanan tersebut berlangsung sengit bermula set pertama dengan Midorikawa-Yamashita melanjutkan permainan sehingga ke “deuce” sebelum memenanginya menerusi skor 25-23.
Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin berhasil bangkit untuk memenangi set kedua dengan keputusan 21-15 sekaligus mengheret Midorikawa-Yamashita ke set penentuan.
Namun begitu, Sze Fei-Izzuddin tidak dapat mengekalkan rentak kemenangannya dan terpaksa akur tewas set tersebut menerusi skor 11-21 di tangan Midorikawa-Yamashita selepas 54 minit bertarung di atas gelanggang.
YONEX Swiss Open 2025
— BWFScore (@BWFScore) March 18, 2025
MD – R32
🇯🇵Hiroki MIDORIKAWA🏅
25 15 21 🇯🇵Kyohei YAMASHITA🏅
🇲🇾GOH Sze Fei
23 21 11 🇲🇾Nur IZZUDDIN
🕚 in 54 minutes
Sebagai rekod ini merupakan kekalahan kedua Sze Fei-Izzuddin di peringkat pusingan 32 bagi tahun ini selepas tewas di peringkat yang sama di Terbuka Malaysia 2025 pada Januari lalu.
Pada minggu lalu, persembahan Sze Fei-Izzuddin di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2025 juga tidak memberangsangkan apabila tewas di pusingan 16 biarpun diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan.
Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, beraksi pada hari pertama di Terbuka Swiss 2025 turut mengikuti jejak langkah yang sama.
Selepas bertarung selama 41 minit, Azriyn-Wee Kiong terpaksa akur gagal ke pusingan berikutnya apabila tewas 21-23 dan 18-21 di tangan pasangan Denmark, Andreas Søndergaard dan Jesper Toft.
Manakala Yew Sin-Ee Yi yang bertemu beregu Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan turut tewas secara “straight set” menerusi skor 18-21 serta 26-28 dalam masa 40 minit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia