PSM Tetapkan Kadar Parkir SNBJ RM5 Sahaja Ketika Acara Sukan & Konsert

March 19, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Peminat sukan serta penggemar konsert yang bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menggunakan kenderaan peribadi dan memarkir di ruang parkir stadium akan menikmati kadar parkir baharu yang lebih rendah bermula 1hb April kelak.

Kadar ini turut terpakai di ruangan-ruangan parkir bagi venue lain di dalam kompaun Kuala Lumpur Sports City (KLSC) seperti Axiata Arena, Stadium Hoki Nasional, Pusat Akuatik Nasional, Pusat Skuasy Nasional dan Dewan Sri Putra.

Menerusi satu sidang media yang berlangsung pada hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Iliyas Jamil mengumumkan caj parkir baharu di KLSC ditetapkan kepada RM5 sahaja, sekali masuk, pada hari berlangsungnya sebarang acara sukan mahupun konsert-konsert.

Peminat dan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC dilihat bakal menjadi kelompok pertama yang menikmati caj tetap RM5 ini apabila bertandang ke SNBJ pada 12hb April kelak.

Manakala caj parkir di KLSC semasa tiada sebarang acara yang berlangsung pula ditetapkan kepada RM2 bagi tempoh tiga jam pertama dan RM5 bagi tempoh melebihi tiga jam.

Kadar baharu ini diumumkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Dasar Kementerian Belia dan Sukan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira aduan orang ramai berkenaan kadar caj sebelum ini yang lebih mahal serta tidak sekata mengikut acara yang berlangsung.”

“Ini bertepatan dengan dengan aspirasi kerajaan Madani, sebagai sebuah pentadbiran yang berdiri  atas sifat ihsan dan peduli rakyat,” katanya.

Sebelum ini, caj parkir bagi venue-venue di dalam kompaun KLSC pada hari berlangsungnya sebarang acara seperti perlawanan bola sepak, kejohanan badminton serta konsert-konsert boleh mencecah sehingga RM20, sekali masuk, bagi setiap kenderaan.

Untuk makluman, ruangan parkir atau padang letak kereta KLSC diuruskan oleh Business Leader (M) Sdn Bhd – Park Safe.

Tambah Iliyas lagi, kadar baharu ini akan mengurangkan pendapatan PSM kerana tiada lagi pembahagian keuntungan antara PSM dan syarikat pengurus padang letak kereta terbabit.

Bagi tahun 2024, Iliyas berkongsikan bahawa PSM meraih pendapatan sebanyak RM294,610 melalui kutipan lot tempat letak kereta semasa acara.

PSM mengharapkan kadar baharu ini akan memberi motivasi kepada orang ramai untuk memeriahkan acara-acara yang berlangsung di KLSC pada masa akan datang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd