SNBJ Kekal Guna Zeon Zoysia, Rumput Hibrid Dibawa Ke Stadium Mini MSN

March 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menjadi gelanggang rasmi buat skuad bola sepak kebangsaan serta venue perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia nampaknya tidak akan menggunakan rumput hibrid dalam masa terdekat.

Sebaliknya, stadium berkapasiti 85,500 tempat duduk itu akan kekal menggunakan rumput jenis zeon zoysia – tajaan DYAM Tunku Mahkota Ismail – mula ditanam sekitar Ogos 2023.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil ketika dalam Sidang Media Pengumuman Kadar Parkir Baharu Kuala Lumpur Sports City (KLSC), hari ini. 

“Buat masa ni kita akan maintain (kekal) dengan padang rumput zeon zoysia sebab kita tengok keadaan (padang) pun sangat baik dan kami pun tak nak mengganggulah,”

“Apabila kami membuat proses penukaran padang dia mengambil masa yang lama dan kami pun akan mengambil untuk belajar dan juga untuk menyesuaikan diri dengan padang baru,” katanya.

Pada April tahun lalu, selepas menaja penukaran rumput daripada jenis “cow grass” kepada jenis zeon zoysia, Tunku Ismail merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenan untuk mendermakan pula rumput hibrid  yang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada SNBJ.

Alasannya, rumput hibrid – kombinasi rumput asli dan rumput tiruan – lebih memenuhi keperluan SNBJ selaku stadium pelbagai guna ekoran ketahanan dan flesibilitinya untuk acara sukan dan bukan sukan.

Memandangkan PSM membuat keputusan untuk mengekalkan penggunaan rumput jenis zeon zoysia, rumput yang pemberian Tunku Ismail itu akan diletakkan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) yang terletak di sebelah SNBJ.

“Jadi padang hybrid (rumput) dari (Stadium) Larkin tu buat masa ini akan dipindahkan ke Stadium Mini MSN, kita akan letak disitu dahulu, kita akan biasakan diri dan sesuaikan diri dengan penggunaan (serta) macam mana nak manage (urus) dan kita akan tengok selepas itu, adakah kita akan switch (tukar) dan sebagainya,”

“Bergantunglah, keputusan akhir itu kita belum buat lagi, buat masa ini kita akan maintain (kekal) dengan padang (rumput) natural (jenis) rumput zeon zoysia,” ulasnya.

Tinjauan kami pada pagi tadi turut menyaksikan keadaan rumput zeon zoysia di SNBJ berada dalam keadaan baik, subur menghijau dan padat sekaligus bersiap sedia untuk melangsungkan perlawanan akhir Piala Malaysia 24-25 yang menemukan JDT dan Sri Pahang FC pada 12hb April hadapan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd