Pengerusi PSM Penggal Baharu Dijangka Diketahui Pada 20 Mac
Hafiz Omar

Individu yang akan menerajui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) – badan berkanun yang berfungsi mengurus dan menyelenggara kompleks dan arena sukan yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – sebagai Pengerusi PSM dijangka akan diketahui pada 20hb Mac 2025 (Khamis).
Bukan sahaja jawatan Pengerusi PSM, senarai anggota-anggota lain bagi PSM untuk penggal seterusnya juga akan diketahui esok.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Iliyas Jamil dalam sidang media yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari ini.
“Berkenaan dengan anggota perbadanan, kita punya lembaga pengarah, mengikut akta, Anggota Perbadanan Stadium Malaysia ni dia datang mengikut penggal,”

“Jadi, satu kumpulan ni dia akan masuk seramai 16 orang mengikut penggal, dia akan masuk pada tarikh yang sama, ada yang akan lewat sikitlah, dan semuanya akan tamat pada masa yang sama,”
“Penggal (semasa) akan tamat pada hari esok, 20hb Mac (Khamis), kami masih menunggu daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan juga YB Menteri (mengenai) siapa anggota perbadanan terbaru termasuk Pengerusi PSM,” katanya.
Pada Isnin lalu, Hans Isaac yang juga merupakan pelakon dan bekas Presiden Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengumumkan tidak lagi menyandang jawatan Pengerusi PSM – dilantik sekitar Jun 2023.
Keputusan itu dikongsikannya menerusi akaun Instagram peribadinya sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli serta memaklumkan mengintai cabaran baharu.
“Kalau Dato’ Hans Isaac bukan pengerusi akan ada pengerusi baru yang menggantikan beliau, cumanya kita tunggu esoklah, (pelantikan) daripada YB Menteri,” tambahnya.
Antara kompleks dan arena sukan di bawah tanggungjawab PSM adalah Stadium Nasional, Stadium Hoki Nasional, Axiata Arena, Pusat Skuasy Nasional, Pusat Akuatik Nasional dan lain-lain lagi.
Featured Image: Facebook Hans Isaac