Terbuka Swiss: Hanya 4 Wakil Negara Mara Ke Pusingan 16
March 20, 2025 Hafizuddin Omar

Saingan Terbuka Swiss 2025 menyaksikan seramai sepuluh wakil negara mengambil bahagian namun hanya empat daripadanya berhasil meneruskan langkah dengan mara ke pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF Super 300 terbabit. 

Pertamanya, Leong Jun Hao mencetak kemaraan selepas berhasil menundukkan pemain Jepun yang menduduki ranking ke-45 dunia, Koo Takahashi menerusi skor 21-19 dan 22-20.

Kemenangan itu membawanya berjumpa seorang lagi pemain Jepun iaitu Kenta Nishimoto di pusingan 16. Sebagai rekod, Jun Hao pernah bertembung dengan Nishimoto sebanyak tiga kali sebelum ini dan dua daripadanya berakhir dengan kemenangan ketika beraksi di Piala Thomas 2020 dan Masters Indonesia 2024.

Keduanya, turut sama mengikut jejak langkah Jun Hao adalah perseorangan wanita No.1 negara, Goh Jin Wei.

Pemain berusia 25 tahun ini cemerlang menundukkan Pai Yu Po dari Chinese Taipei secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-12 untuk membawanya bertemu pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Supanida Katethong. 

Tidak ketinggalan, juara bertahan merangkap pilihan pertama kejohanan, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai tiada masalah untuk meneruskan kempen ke pusingan 16 dengan menumpaskan beregu Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Yang Ching Tun.

Peringkat seterusnya, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri akan membuat perhitungan dengan beregu Thailand, Ruttanapak Oupthong dan Jhenica Sudjaipraparat bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Akhir sekali, Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien turut sama mengesahkan kemaraan selepas berhasil mengatasi cabaran wakil Macau, Leong Iok Chong dan Ng Weng Chi dengan merekodkan kemenangan 21-14 dan 21-10 dalam masa 27 minit.  Bagaimanapun, cabaran kian sukar buat beregu ke-27 dunia ini untuk mara ke peringkat seterusnya memandangkan perlu berhadapan dahulu dengan pilihan keempat kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen