
Saingan bola sepak yang paling banyak ditonton oleh umat manusia, Premier League (PL) akan beralih menggunakan jenama bola sepak baharu, Puma, bermula musim hadapan.
Perkembangan itu hadir selepas PL dan Puma, jenama sukan antarabangsa dari Jerman, mengumumkan kerjasama rasmi yang bermula pada musim panas 2025.
Kerjasama itu menyaksikan jenama Puma diangkat sebagai Penyedia Bola Rasmi bagi PL merangkumi membekalkan bola perlawanan untuk semua perlawanan liga tersebut bermula aksi pertama musim 2025-26.

Menerusi kerjasama ini, Puma juga akan menyokong pelbagai inisiatif, daripada program bola sepak berasaskan komuniti yang akan memupuk bakat di peringkat akar umbi kepada kempen pemasaran yang berimpak tinggi serta lain-lain acara lagi.
Puma bukanlah satu jenama asing di dalam kancah tertinggi bola sepak England terbabit. Mereka menyediakan persalinan pakaian untuk Manchester City dan Southampton serta bekerjasama dengan pemain-pemain antaranya Kai Havertz (Arsenal), James Maddison (Tottenham Hotspur), Harry Maguire (Manchester United), Jordan Pickford (Everton) dan Marc Cucurella (Chelsea).
Kehadiran Puma bermakna hubungan bersejarah PL bersama Nike, penyedia bola rasmi perlawanan untuk PL sejak musim 2000-01, 25 tahun lamanya, menemui titik noktah.
Pada masa yang sama, Puma kini menjadi penyedia bola bagi tiga daripada lima liga bola sepak terbaik di benua eropah selepas membekalkan bola sepak buat saingan Serie A (Itali) dan LaLiga (Sepanyol).
Featured Image: Premier League