Piala Malaysia: Sri Pahang Mohon Ubah Tarikh Final, JDT Setuju
March 20, 2025 Hafizuddin Omar

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan berlangsung pada 12hb April 2025.

Sebaliknya, perlawanan akhir bagi Piala Malaysia edisi ke-98 yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC itu diubah kepada 26hb April 2025.

Perubahan tersebut dikongsikan Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan yang disiarkan kepada umum pada hari ini. 

Dimaklumkan perubahan dilakukan selepas MFL mendapat permohonan rasmi daripada Sri Pahang serta persetujuan bersama JDT.

“Daripada maklum balas yang diterima daripada pasukan finalis itu mendapati, kebanyakan penyokong mengharapkan agar tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia dapat dianjak ke tarikh baharu untuk membolehkan mereka merancang perjalanan ke SNBJ.”

“Ini berikutan kekangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket memandangkan tarikh asal yang masih di tempoh awal perayaan Hari Raya Aidilfitri.”

Sebagai tambahan, susulan penetapan tarikh baharu bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-25, MFL akan melakukan pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen