Harimau Malaya Bawah FAM, Tunku Mahkota Ismail Membantu – Joehari Ayub
March 21, 2025 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub menepis dakwaan bahawa skuad bola sepak kebangsaan yang direvolusikan pada saat ini tidak lagi berada di bawah badan induk bola sepak tanah air.

Apatah lagi yang menyimpulkan skuad berjulukan Harimau Malaya itu sebagai sebuah entiti swasta atau terpisah daripada FAM.

Ketika ini, Harimau Malaya dilihat berada di bawah struktur baharu dengan kewujudan jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan selain pelantikan barisan kejurulatihan baharu serta memburu beberapa pemain luar negara berketurunan Malaysia. 

Namun begitu, Joehari menegaskan struktur tersebut masih berada di bawah kendalian FAM menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dimana beliau sendiri bertindak sebagai pengerusi. 

“Harimau Malaya adalah di bawah FAM, dia cuma dikendalikan oleh orang-orang yang (dilantik), tiada istilah bahawa Harimau Malaya ini dan FAM berpisah ataupun different entity (entiti berbeza),”

“Jadi, halatuju kita still (masih) pergi ke (arah) pembangunan dan Harimau Malaya (serta) kesemuanya,” jelasnya ketika ditemui oleh pengamal media di Majlis Berbuka Puasa FAM 2025 pada Khamis.

Seperti ramai perhatikan, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkap mantan Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Ismail dilihat memainkan peranan besar dan menggerakkan idea untuk mengetengahkan struktur baharu serta melantik individu-individu mengisi jawatan-jawatan di dalam struktur baharu berkenaan. 

Akan tetapi, Joehari memaklumkan Tunku Mahkota Ismail hadir untuk membantu Harimau Malaya maju ke hadapan. 

“Baginda membantu,” jawab Joehari ketika ditanyakan mengenai penglibatan Tunku Mahkota Ismail bersama skuad Harimau Malaya. 

“Jadi kita amat berterima kasih kepada Tuanku dapat membantu untuk merealisasikan kita punya strategi untuk Harimau Malaya maju ke hadapan,” 

“Jadi, sesiapa datang beri bantuan kepada FAM, kita alu-alukan, setakat ini Tunku Mahkota Ismail memang amat membantu,” ujarnya.

“Ya, (struktur itu) memang di bawah FAM, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan FAM, jadi dia memang satu struktur (yang) masih dan memang di bawah FAM,” tambahnya lagi.

Struktur baharu itu menyaksikan Rob Friend dipilih untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya serta Dr. Craig Duncan menjawat jawatan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya. 

Sementara itu, barisan kejurulatihan juga dilihat mengalami perubahan besar dengan Peter Cklamovksi kelahiran Australia dilantik sebagai ketua jurulatih disamping Mark Miligan juga dari negara yang sama selaku penolong ketua jurulatih.

Manakala Hector Hevel (Portimonense, Portugal) dan Gabriel Palmero (CD Tenerife B, Sepanyol) menjadi dua pemain dikesan memiliki darah keturunan Malaysia dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang Nepal.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen