
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd. Yusoff Hj. Mahadi dilantik semula sebagai pengurus pasukan bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub ketika ditanyakan maklum balas daripada Yusoff yang turun menyaksikan sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Johor Bahru pada Isnin lalu.
“Datuk Wira (Yusof Mahadi) kita lantik sebagai manager, pengurus pasukan dan kita mendapat feedback (maklum balas) semuanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah,”
“Jadi, setakat ini kita doalah kita dapat kemenangan besar dalam game (perlawanan) lawan Nepal nanti, Insya-Allah,” katanya kepada para pengamal media di Saloma Bistro & Theatre Restaurant pada Khamis.
Jawatan pengurus pasukan bukanlah sesuatu yang asing buat Yusoff yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan FAM.
Beliau sendiri pernah menjawat jawatan berkenaan bermula tahun 2018 sebelum dimaklumkan oleh FAM telah meletakkan jawatan pada Januari 2021 atas alasan ingin memberikan tumpuan penuh kepada Amateur Football League (AFL).
Namun begitu, peletakan jawatan itu dipercayai dibuat atas kegagalan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura – kandas peringkat Kumpulan B.
Pada penghujung Februari 2022, badan induk bola sepak tanah air mengumumkan posisi pengurus pasukan diberikan kepada ketua jurulatih yang baru sahaja dilantik pada ketika itu, Kim Pan-gon.
Featured Image: Malaysia NT