Terbuka Swiss: Soon Huat-Shevon Wakil Tunggal Negara Ke Suku Akhir
March 21, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara yang bergerak secara bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang masih bertahan dalam saingan Terbuka Swiss 2025.

Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan beregu Thailand, Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat pada pusingan 16.

Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri memenangi pertembungan itu setelah mengharungi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 20-22, 25-23 dan 21-1.

Kemenangan itu sekaligus membawanya bertemu sepasang lagi beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran – pasangan yang telah mereka hadapi sebanyak empat kali sebelum ini. 

Empat pertembungan itu berkesudahan dengan seimbang dimana Soon Huat-Shevon serta Dechapol-Supissara meraih dua kemenangan masing-masing.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara iaitu Leong Jun Hao, Goh Jin Wei serta gandingan Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien  yang beraksi di pusingan 16 terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 ini.

Jun Hao tewas di tangan Kenta Nishimoto (Jepun) menerusi skor 17-21, 22-20 dan 20-22 manakala Jin Wei tumpas 9-21, 21-18 dan 22-24 kepada Supanida Katethong (Thailand). 

Tien Ci-Chiew Sien pula tewas “straight set” kepada pilihan keempat kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue menerusi skor 16-21 dan 10-21.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen