
Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil memperkukuhkan dan memaksimumkan kepakaran pengurusannya dengan mendatangkan Luis Garcia.
Bekas pemain berstatus legenda antarabangsa itu dibawa masuk ke dalam skuad berjulukan Harimau Selatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu.
JDT yang telah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super kesebelas berturut-turut berkongsikan mengenai pelantikan Garcia menerusi pengumuman di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Perkongsian itu turut mengepilkan lima keping gambar Garcia bersama pemilik JDT iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menandatangani helaian kontrak serta berjabat tangan.
Dimaklumkan, pelantikan bekas pemain yang cukup dikenali menyarung jersi Liverpool, Barcelona dan Atletico Madrid itu selaku CEO JDT berkuat kuasa 1hb April 2025 kelak.
Dalam perkongsian itu juga, Alistair Edwards, yang berperanan sebagai CEO mengisi jawatan baharu iaitu Ketua Pegawai Operasi (COO) selain kembali berperanan sebagai Pengarah Teknikal – posisi yang disandangnya dari 2017-2022.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers