
Satu perkhabaran baik dikongsikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada para peminat dan penyokong skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menjelang aksi pertama pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.
Menerusi satu video, stesen penyiaran awam milik Kerajaan Malaysia itu memaklumkan akan menyiarkan secara langsung keenam-enam perlawanan melibatkan Harimau Malaya dalam Kumpulan F dalam pusingan kelayakan terbabit.
Ianya bermula dengan pertarungan pertama mementang Nepal yang berada di ranking 175 dunia bimbingan Matt Ros dari Australia pada 25hb Mac (Selasa) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Sepak mula bagi pertembungan antara Harimau Malaya atau Malaysia dan Nepal ini dijadualkan bermula jam 10 malam.
Siaran langsung di saluran RTM itu disusuli dengan pertembungan menentang Vietnam (tempat sendiri, Jun 2025), Laos (tempat lawan, Oktober 2025), Laos (tempat sendiri, Oktober 2025), Nepal (tempat lawan, November 2025) dan terakhir Vietnam (tempat lawan, Mac 2026).
RTM turut memaklumkan perlawanan-perlawanan ini akan disiarkan di saluran Sukan TV RTM dan TV Okey.
Untuk makluman, tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi akan diberikan kepada juara kumpulan sahaja.
Featured Image: RTM