
Penyerang yang berusia 40 tahun, Cristiano Ronaldo mendapat satu lagi pengiktirafan daripada Guinness World Records (GWR) ketika turun mewakili skuad kebangsaan Portugal.
Batang tubuh yang terkenal dengan gelaran CR7 itu mendapat pengiktirafan sebagai Pemain Lelaki Dengan Kemenangan Terbanyak Dalam Karier Bola Sepak Antarabangsa.
Rekod itu hadir ketika Ronaldo, kapten, menyarung jersi Selecao das Quinas menjaringkan dua gol membantu Portugal mengalahkan Poland 5-1 di Estadio do Dragao pada November 2024.
Keputusan itu sekaligus menjadikan Ronaldo meraih kemenangan ke-132 bersama skuad Selecao das Quinas sejak melakukan debutnya bersama skuad senior pada Ogos 2023 ketika berusia 18 tahun.
Angka itu mengatasi rekod dunia sebelum ini yang dipegang oleh bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Sergio Ramos bersama skuad kebangsaan Sepanyol – 131 kemenangan.
Ronaldo diberikan sijil pengiktirafan oleh GWR sebelum daripada sepak mula Portugal dan Denmark di Estadio Jose Alvalade pada pagi tadi (waktu Malaysia).
Selepas perlawanan terbabit, Ronaldo memperbaharui rekod tersebut dengan catatan 133 kemenangan susulan kemenangan bergaya 5-2 Portugal ke atas Denmark.
Pada penampilan ke-219 bersama Portugal terbabit, Ronaldo turut menyumbang satu gol dalam perlawanan tersebut menjadikannya kini mempunyai 136 gol bersama skuad kebangsaan.
Sebelum ini, Ronaldo telah menerima beberapa pengiktirafan daripada GWR seperti penjaring gol terbanyak dalam saingan antarabangsa bersama Portugal, pemain pertama menjaringkan 100 gol dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA dan lelaki paling banyak pengikut di Instagram.
Featured Image: FEDERAÇÃO PORTUGUESA DE FUTEBOL