Zii Jia Terlepas Saingan BAC, Dapat Perlindungan Ranking BWF
March 25, 2025 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia nampaknya masih tidak pulih daripada kecederaan buku lali pada kaki kirinya dan akan terlepas untuk menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Kejohanan yang mengumpulkan pemain-pemain terbaik asia dan diletakkan setaraf dengan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu dijadualkan berlangsung dari 8hb hingga 13hb April bertempat di Ningbo, China. 

Perkembangan tersebut dikongsikan sendiri oleh pasukannya, Team LZJ menerusi satu kenyataan rasmi yang disiarkan pada Isnin menerusi pelbagai platform media sosial.

Pada masa yang sama, Team LZJ turut mengesahkan pihaknya telah berjaya memohon perlindungan ranking kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) buat pemain yang bakal menginjak usia 27 tahun kelahiran Alor Setar berkenaan.

Tambah pihak pasukannya lagi, permohonan itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang teliti dan nasihat daripada pihak berkaitan termasuk pakar perubatan bagi memberikan ruang buat Zii Jia untuk meneruskan sesi pemulihannya.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh badan induk berkenaan, mana-mana pemain yang mengalami kecederaan bagi tempoh tiga dan 12 bulan boleh memohon perlindungan ranking.

Sekiranya diluluskan, pemain tersebut boleh kembali menyertai saingan Jelajah Dunia BWF berdasarkan kepada kedudukan dalam ranking yang dilindungi itu. Ketika ini, Zii Jia berada di ranking kesembilan dunia hasil mengumpul 76,415 mata.

Featured Image: Olympic Council Malaysia

Komen