Dua Muka Baharu Sertai Jawatankuasa RTG Penggal 2025-2026
March 25, 2025 Hafizuddin Omar

Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) menerima kehadiran dua muka baharu bagi penggal 2025-2026 selepas pelantikan mereka mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pada 20hb Mac (Khamis) lalu.

Menerusi satu siaran media oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), salah seorang daripada muka baharu terbabit ialah Dato’ Dr. Ramlan Abd Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) dan bekas Ketua Pengarah MSN serta mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang sains dan perubatan sukan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kontinjen negara dalam enam edisi Sukan Olimpik (1992 – 2012) serta memegang jawatan penting seperti Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA 2009 dan Sukan Para Asia 2010.

Satu lagi muka baharu dalam jawatankuasa RTG bagi penggal 2025-2026 ialah Mae Chen, Ahli Biro World Aquatics dan Pegawai Teknikal Antarabangsa bertauliah dalam acara Renang Para Dunia. Beliau juga merupakan bekas Setiausaha Agung Renang Malaysia dari 2015 hingga 2023.

“Pelantikan Dato’ Dr. Ramlan Abd Aziz dan Mae Chen akan membawa nafas baharu kepada kepimpinan RTG khususnya dalam bidang sains sukan dan pentadbiran. Kedua-dua tokoh ini sangat dihormati dalam bidang masing-masing dan kami amat menantikan kerjasama bersama mereka dalam merancang hala tuju program ini ke hadapan,” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Sementara itu, Hannah kekal kekal sebagai pengerusi manakala sedikit perubahan dilihat terhadap peranan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria yang kini dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Sebelum ini, Norza berperanan sebagai pengerusi bersama (co-chairman) RTG bersama-sama Hannah.

Senarai penuh ahli-ahli jawatankuasa RTG penggal 2025-2026 adalah seperti berikut:

  • Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Setiausaha KBS
  • Jefri Ngadirin; Pengarah MSN
  • Dr. Vellapandian Ponnusamy; CEO ISN
  • Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei; bekas atlet
  • Datuk Nicol Ann David; bekas atlet
  • Dato’ Mirnawan Nawawi; bekas atlet
  • Dato’ Dr. Ramlan Abd Aziz; tokoh sains & perubatan sukan
  • Mae Chen; tokoh pentadbir sukan

Turut melengkapi barisan jawatankuasa ini adalah bekas CEO Malaysian Football League (MFL) dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Stuart Ramalingam selaku Penyelaras Projek serta Halif Asro Ramzi Sulaiman, Ketua Cawangan RTG MSN sebagai Penolong Penyelaras Projek.

Senarai atlet yang terpilih untuk menyertai Program RTG bagi kitaran yang seterusnya akan diketahui selepas berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa RTG yang dijangka berlangsung selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. 

Komen