
Platform e-dagang kereta, Carsome tampil menyediakan 15 buah kenderaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kegunaan pasukan lelaki, pasukan wanita serta barisan pengurusan sepanjang menghadapi perlawanan.
Antara model kenderaan yang disediakan dan ditaja oleh pihak Carsome ialah Protox X90 dan X70, Mazda CX-5, Nissan Serena, BMW 3 Series, Volvo XC40, Mercedes-Benz GLC dan Toyota Alphard.
Perkembangan ini hadir selepas FAM dan Carsome mengumumkan jalinan kerjasama bagi tempoh dua tahun dengan menjadikan Carsome sebagai Rakan Automotif Rasmi FAM.
Dimaklumkan kerjasama strategik ini bertujuan untuk menyokong usaha FAM dalam memperkukuhkan lagi pasukan kebangsaan lelaki dan wanita sekaligus mencipta satu lagi tahun gemilang bagi bola sepak negara.

Selain itu, kerjasama ini turut menyaksikan Carsome Academy, bahagian pendidikan Carsome Group menawarkan diskaun ekklusif dan insentif rujukan kepada ahli pasukan kebangsaan dan FAM untuk program TVET automotif, kemahiran insaniah serta kemahiran teknikal.
Inisiatif ini bertujuan untuk melengkapkan pemain dan kakitangan FAM dengan pengetahuan industri serta kemahiran praktikal yang berguna sekaligus memberi mereka peluang untuk membina kerjaya di luar bidang sukan.
Bukan itu sahaja, pelanggan Carsome akan diberikan peluang eksklusif untuk berinteraksi dengan pemain kebangsaan termasuk merasai pengalam di sebalik tabir serta menyertai sesi bertemu peminat.

Majlis menandatangani perjanjian rasmi telah diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru sebelum perlawanan pertama Malaysia bagi tahun ini menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carsome, Eric Cheng.
Turut menyaksikan sesi tandatangani terbabit adalah Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub serta Pengasas Bersama dan CEO Carsome Academy, Teoh Jiun Ee.
Featured Image: Football Association of Malaysia