Borussia Dortmund Berkolaborasi Dengan One Piece
Hafiz Omar

Salah satu kelab gergasi bola sepak Jerman iaitu Borussia Dortmund mengumumkan melancarkan satu projek kolaborasi unik dengan siri animasi dan komik terkenal Jepun, One Piece.
One Piece merupakan kisah pengembaraan epik Monkey D. Luffy bersama Kru Topi Jerami (Straw Hat Crew) mencari harta karun legenda yang dikenali sebagai “ONE PIECE” tinggalan bekas Raja Lanun, Gold D. Roger.
Siri komik itu dicipta oleh Eiichiro Oda dan diterbitkan oleh Toei Animation. Ianya menjadi komik paling banyak terjual dan telah disiarkan di televisyen Jepun sejak tahun 1999 – menarik minat pelbagai kumpulan umur dari serata dunia.
Kolaborasi itu akan dijayakan ketika Dortmund melayan kunjungan Mainz 05 pada minggu ke-27 di lamannya sendiri, Signal Iduna Park pada 30 Mac 2025 kelak.


Kolaborasi itu menyaksikan Dortmund akan mengadakan beberapa aktiviti di sekitar stadium buat para peminatnya untuk menyelami karakter kegemaran daripada One Piece dalam suasana bola sepak.
Antara yang menarik, bermula dari 24hb Mac hingga 5hb April, peminat Dortmund boleh mencuba bermain kad permainan popular One Piece di BVB Fanwelt yang dihoskan oleh Bandai Card Games.
Selain itu, peminat juga berpeluang untuk mendapatkan beg cenderahati yang diisikan dengan skarf, pelekat dan kad promo eksklusif dengan rekaan Borussia Dortmund x One Piece – diedarkan di beberapa pintu masuk stadium pada hari perlawanan menentang Mainz 05.
Sebelum ini, ketika Dortmund bertandang ke negara matahari terbit semasa Jelajah Asia 2024, Dortmund telah pun berkolaborasi dengan Toei Animation dan mengadakan beberapa aktiviti secara bersama.

Featured Image: Borussia Dortmund