Tengku Zafrul Setuju Dicalonkan Sebagai Presiden BAM
March 25, 2025 Hafizuddin Omar

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri iaitu YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima pencalonan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Persetujuan menerima pencalonan itu dikongsikannya sendiri menerusi satu hantaran di akaun media sosial peribadinya, X, pada hari ini.

“Saya dengan rendah diri menerima pencalonan untuk jawatan presiden. Jika terpilih, saya akan berkhidmat untuk BAM dan sukan badminton sebaik mungkin buat para penyokong badminton seluruh Malaysia.” katanya.

Terdahulu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengumumkan menamakan Zafrul sebagai calon untuk bertanding jawatan Presiden BAM penggal 2025-2029.

Perkara tersebut diumumkan dalam sidang media pada hari ini selepas berlangsungnya Mesyuarat Majlis BAM di Bukit Kiara.

Dimaklumkan, penamaan Zafrul itu turut mendapat kata sepakat majoriti Ahli Majlis BAM.

Pemilihan barisan kepimpinan baharu BAM penggal 2025-2029 dijangka berlangsung pada 10hb Mei hadapan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Sebelum ini, nama Zafrul telah pun disebut-sebut untuk mengisi jawatan Presiden BAM lebih-lebih lagi ketika Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria mahu melepaskan jawatan sebagai Presiden BAM.

Sementara itu, Subramaniam menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya selaku Timbalan Presiden BAM pada pemilihan akan datang.

Featured Image: Facebook Tengku Zafrul

Komen