Mansuh Piala MFL? Ini Masanya Kelab Guna Pemain Muda – CEO TFC
Hafiz Omar

Pemansuhan kejohanan liga bawah 23 tahun (B-23) iaitu Piala MFL oleh penganjur iaitu Malaysian Football League (MFL) menandakan sudah tiba masanya untuk kelab-kelab Liga Super mempertimbangkan untuk menggunakan pemain-pemain muda.
Idea tersebut dilontarkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd. Sabri Abas sebagaimana kelabnya memberikan peluang kepada Zachary Zahidadil dan Danial Mohd Nor yang berusia 20 tahun masing-masing.
Selain itu, beliau turut melihat pemansuhan kejohanan tersebut sebagai peluang buat para pemain muda meningkatkan potensi diri dengan bersaing di liga yang lebih kompetitif.
“Sudah sampai masanya untuk pemain-pemain muda diketengahkan kepada skuad utama dan ini yang biasa kita amalkan untuk bagi peluang kepada pemain muda membuat debut sebelum ini.”
“Ini kerana di Terengganu, kita melihat pemain muda terutama pemain tempatan seharusnya menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman bersama-sama pemain utama.”
“Yang kedua saya lihat apabila Piala MFL ini dimansuhkan, ini masanya untuk mereka cuba bersaing di liga yang kompetitif dan sudah sampai masanya semua kelab juga menggunakan lebih ramai pemain muda terutamanya dari Piala MFL,” katanya.

Pada Isnin lalu, MFL mengumumkan memansuhkan Piala MFL atas alasan mendapati ianya membuatkan kelab menanggung perbelanjaan tinggi daripada segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik.
Sementara itu, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew dilihat senada dengan alasan yang diberikan oleh MFL sambil menyifatkan pemansuhan Piala MFL sesuatu yang positif buat kelab.
“Bagi saya, keputusan ini dibuat apabila nilai komersial tidak dapat dilihat dalam tempoh 12 bulan terakhir ini dan sudah tentu untuk kelab, ia sesuatu positif sebab kita tidak mahu membebankan pasukan.”
“Tetapi sudah tentu akan yang bertanya ke mana hala tuju para pemain bawah 23 tahun dan bagi saya, ia bergantung kepada kualiti pemain itu sendiri.”
“Saya setuju pemain-pemain muda ini akan lebih matang kerana persaingan mereka akan lebih tinggi untuk rebut tempat di Liga Super dan untuk saya, keputusan ini adalah permulaan yang perlu dianggap positif untuk mereka”, ujarnya.
Featured Image: Terengganu FC