Pemain, Jurulatih & Pegawai Harimau Malaya Dapat Duit Raya
March 26, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain-pemain skuad bola sepak senior kebangsaan meraih kegembiraan berganda kerana bukan sahaja meraih tiga mata pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan F bagi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Bahkan keseluruhan skuad termasuk barisan kejurulatihan dan para pegawainya mendapat habuan duit raya kurniaan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selepas perlawanan menentang Nepal.

Duit raya diberikan ketika baginda berangkat memberikan sokongan kepada anak-anak buah Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, pada malam tadi.

Perkara tersebut dapat disaksikan menerusi perkongsian oleh akaun media sosial rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT.

Bagaimanapun, tiada sebarang amaun dikongsikan kepada umum mengenai jumlah duit raya yang diterima oleh setiap pemain, barisan kejurulatihan dan para pegawai.

Terdahulu, Malaysia berhasil meraih kemenangan dengan keputusan 2-0 hasil jaringan daripada pemain kacukan baharu, Hector Hevel dan Corbin-Ong pada separuh masa pertama dan kedua masing-masing.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan dan menduduki tangga kedua Kumpulan F berkongsi tiga mata yang sama dengan pendahulu, Vietnam.

Untuk makluman, Tunku Ismail yang juga mantan Presiden FAM merupakan individu yang mencetuskan idea revolusi dan mengetengahkan struktur baharu buat Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub menegaskan skuad Harimau Malaya masih kekal di bawah seliaan badan induk negara dan kehadiran Tunku Ismail adalah untuk membantu pasukan maju kehadapan.

Featured Image: Malaysia NT

Komen