7 Lagi Pemain Malaysia Luar Negara Akan Bantu Skuad Harimau Malaya – Tunku Mahkota Ismail

March 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Era baharu skuad bola sepak senior kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski akan menerima kehadiran sekurang-kurangnya tujuh lagi pemain yang beraksi di luar bagi memperkukuhkan lagi pasukan.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pemilik Johor Darul Ta’zim merangkap mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Tunku Mahkota Ismail menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya.

Bagaimanapun, tiada sebarang butiran terperinci mahupun bayangan dikongsikan baginda mengenai ketujuh-tujuh pemain yang diperkatakan terbabit. 

“7 lagi pemain Malaysia di luar negara akan menambah lebih kualiti dan membantu pasukan.” tulisnya.

Pada Selasa lalu, peminat dan penyokong skuad berjulukan Harimau Malaya dapat menyaksikan kelibat dan persembahan pemain berketurunan Malaysia yang beraksi di kancah bola sepak Portugal, Hector Hevel ketika menentang Nepal.

Debut pemain tengah berusia 28 tahun itu mendapat pujian melambung rata-rata penyokong serta peminat atas prestasi cemerlangnya mengawal bahagian tengah disamping menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Seorang lagi pemain, bek kiri, Gabriel Palmero yang beraksi di Sepanyol turut menjejakkan kakinya di tanah air dan menyertai kem latihan skuad kebangsaan pada minggu lalu.

Bagaimanapun, kemampuan dan kebolehan pemain berusia 23 tahun itu bersama Harimau Malaya tidak dapat dijelmakan berikutan namanya disisihkan oleh Cklamovski daripada senarai 23 pemain akhir untuk bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Pada Januari lalu, selepas FAM mengumumkan pelantikan Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya serta Rob Friend dan Dr. Craig Duncan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Harimau Malaya masing-masing, Tunku Mahkota memaklumkan telah mengenal pasti enam ke tujuh orang pemain warisan untuk dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd