Jemaah Menteri Luluskan Penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34, Hannah Yeoh Pengerusi
Hafiz Omar

Selepas menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027 sekitar penghujung Ogos tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pada Rabu, tampil memaklumkan Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15.
Kelulusan penubuhan Jawatankuasa Pengelola itu diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat itu turut memutuskan Jawatankuasa Pengelola terbabit akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dibantu 16 Jawatankuasa Kecil yang menyaksikan pembabitan pelbagai Kementerian, agensi dan badan sukan demi memastikan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh sukan negara.
Dalam mesyuarat yang sama, Jemaah Menteri turut meluluskan penubuhan Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027. Untuk makluman, Sekretariat MASOC berperanan melaksanakan keputusan dan hala tuju ditetapkan Jawatankuasa Pengelola.
Ianya akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) yang akan dilantik tidak lama lagi.
Featured Image: Facebook KBSMalaysia