Cabaran Antarabangsa Vietnam: Gandingan Jimmy-Pei Jing Jejak Suku Akhir
March 27, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran baharu melibatkan pemain junior dan senior, Jimmy Wong dan Lai Pei Jing berhasil melangkah ke peringkat suku akhir dalam Cabaran Antarabangsa Vietnam 2025 yang disertai mereka pada minggu ini.

Diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan, gandingan pemain berusia 22 dan 32 tahun masing-masing ini mara selepas menumpaskan Huang Jui-Hsuan dan Sung Yi-Hsuan dengan mudah menerusi skor 21-10 dan 21-9.

Jimmy-Pei Jing dilihat berpeluang cerah untuk meneruskan rentak kemenangannya sekaligus meneruskan langkah ke peringkat berikutnya iaitu separuh akhir.

Lawan yang akan dihadapi Jimmy-Pei Jing pada peringkat suku akhir adalah beregu Thailand yang menduduki ranking ke-167 dunia, Ratchapol Makkasasithorn dan Nattamon Laisuan.

Untuk makluman, Pei Jing memutuskan untuk membentuk gandingan dengan Jimmy selepas pasangannya sebelum ini, Tan Kian Meng, 30 tahun, bersara sebagai pemain badminton profesional selepas beraksi di Kejohanan Terbuka Badminton Seluruh England (All England) 2025.

Komen