Chen Tang Jie & Toh Ee Wei Berpisah Untuk Kejohanan Seterusnya – BAM

March 28, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kerjasama Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam sektor beregu campuran yang bermula sejak Disember 2022 menemui titik noktahnya pada hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan dan memaklumkan bahawa gandingan yang pernah menghuni ranking ketiga dunia – tertinggi pernah dicapai gandingan ini – akan dipisah dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

Keputusan itu disampaikan sendiri oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosial badan induk berkenaan, pagi ini.

Menurut Subramaniam yang juga Pengerusi Jawatankuasa BAM, pertimbangan itu dibuat selepas mendapat laporan akhir serta cadangan daripada Ketua Jurulatih Beregu Campuran, Nova Widianto dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

Bagaimanapun, gandingan baharu untuk kedua-dua pemain yang berusia 27 dan 24 tahun masing-masing itu belum diputuskan lagi.

“Kami bersetuju untuk memberikan masa kepada barisan kejurulatihan bagi mencuba kombinasi-kombinasi yang sesuai,” katanya.

Sebagai rekod, gandingan Tang Jie-Ee Wei membuat kemunculan pertama di pentas antarabangsa dengan menyertai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dimana mereka turut muncul juara di kejohanan berkenaan.

Sepanjang hampir 27 bulan bergandingan, Tang Jie-Ee Wei turut meraih empat lagi gelaran lain di pentas antarabangsa seperti Cabaran Antarabangsa Iran 2023, Masters Orleans 2023, Terbuka Taipei 2023 dan Terbuka Korea 2024.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd