
Ketiadaan saingan bawah 23 tahun (B-23), Piala MFL, pada musim hadapan bukanlah penamat kepada karier pemain-pemain muda, demikian komen oleh Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw.
Pemain-pemain muda yang beraksi di dalam kancah terbabit perlu bijak dan berusaha gigih untuk mencari tempat atau kelab serta menarik perhatian jurulatih-jurulatih untuk merekrut bagi meneruskan karier bola sepak masing-masing.
Ini termasuk dengan mencari dan mengambil segala peluang yang terhidang termasuk menyertai kelab-kelab di divisyen yang lebih rendah seperti Liga A1 Semi Pro atau Liga A2 Amateur.
“Mereka perlu lebih kreatif untuk cari peluang, jangan hanya menunggu peluang itu sampai tanpa berbuat apa-apa.
“Maksud saya di sini mencari peluang adalah mereka perlu bermula di sesuatu tempat dan kalau perlu di divisyen yang lebih bawah, ambil sahaja peluang itu.
“Jangan malas untuk buat rangkaian dan berhubung rapat dengan mana-mana kelab untuk membuktikan kualiti yang ada, dan saya percaya jika mereka benar ada kualiti tersebut, mereka pasti akan diserap masuk,” katanya.
Pada Isnin lalu, penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL selepas menganjurkannya selama dua musim.
Antara alasan terhadap pemansuhan tersebut adalah pihak kelab menanggung belanja yang tinggi terutamanya daripada segi pembayaran gaji dan operasi logistik.
Selain itu, MFL dan Rakan Kongsi Liga bersetuju usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh untuk pemain bersaing dalam skuad utama berbanding beraksi dalam pertandingan peringkat umur.
Featured Image: Sabah Football Club