Southampton Tersingkir Daripada Saingan PL Dengan Baki 7 Perlawanan
Hafiz Omar

Kelibat Southampton tidak akan kelihatan dalam kancah Liga Perdana (PL) pada musim hadapan apabila disahkan tersingkir setelah tewas di tangan Tottenham Hotspur pada Ahad.
Southampton atau nama julukannya, The Saints tewas aksi ke-31 terbabit di Stadium Tottenham Hotspur sambil disaksikan 60,984 penonton yang hadir dengan keputusan 1-3. Ini juga merupakan kekalahan ke-25 dialami skuad bimbingan Ivan Juric bagi musim 2024-25.
Gol daripada pasukan tuan rumah hadir menerusi jaringan berganda daripada Brennan Johnson (13’, 42’) dan satu gol menerusi sepakan penalti oleh Mathys Tel (90+6’). Manakala jaringan tunggal Southampton pula hadir di penghujung permainan oleh Mateus Fernandes (90’).
Berbaki tujuh perlawanan lagi bagi musim ini, Southampton mencatatkan rekod buruk baharu sebagai pasukan terawal disahkan tersingkir daripada saingan PL. Sebelum ini, Ipswich Town dan Derby County memegang rekod buruk tersebut – disahkan tersingkir dengan baki enam perlawanan.
Pada saat ini, selain Southampton yang disahkan tersingkir, Ipswich Town dan Leicester City turut menduduki zon penyingkiran dengan sekadar mengutip 20 dan 17 mata masing-masing.
Southampton’s loss to Spurs means they will be relegated from the Premier League. pic.twitter.com/QMADLWesW5
— Premier League (@premierleague) April 6, 2025
Featured Image: Premier League