Aksi Ricardo Quaresma Di Stadium Darul Aman Ditunda
Hafiz Omar

Penampilan bekas pemain yang terkenal dengan gaya sepakan ikonik “trivela” iaitu Ricardo Quaresma di Stadium Darul Aman nampaknya ditunda ke suatu tarikh yang akan ditetapkan semula oleh pihak penganjur.
Terdahulu, bekas pemain sayap skuad kebangsaan Portugal yang berusia 41 tahun berkenaan dijadualkan menjadi tetamu khas bagi perlawanan persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia pada 11hb April 2025 di Stadium Darul Aman.
Perlawanan itu dianjurkan secara bersama oleh Kedah Darul Aman FC dan Malaysia Football Museum.
Pasukan All Star Kedah akan dibarisi oleh pemain-pemain yang pernah menyarung jersi Kedah pada era 90-an dan ke atas. Antaranya Khyril Muhymeen, Rafdi Rashid, K. Soley, Baddrol Bakhtiar, Nelson Martin, Radhi Mat Din, Fauzi Saari, Victor Andrag, Khamal Idris, Fauzi Nan, Helmi Eliza dan beberapa nama lain lagi.
Sementara All Star Malaysia pula diwakili bekas-bekas pemain dalam kancah Liga Malaysia di era yang sama seperti Azamuddin Akil, Indra Putra, Christie Jayaselan, Faiz Subri, Hardi Jaafar, Manzoor Azwira, P. Gunalan, Remezy Che Ros dan lain-lain lagi.
Bersempena dengan perlawanan itu juga, Kedah Darul Aman FC melalui inisiatif The Wing, program keahlian bersama kelab, akan mengumumkan Duta Rasmi The Wing sebelum sepak mula perlawanan itu.
Duta tersebut merupakan seorang figura antarabangsa dan individu yang dijangka dilantik sebagai duta itu dipercayai adalah bekas pemain skuad kebangsaaan Portugal itu sendiri iaitu Quaresma.
Bagaimanapun, pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memaklumkan menunda perlawanan persahabatan dan program pengumuman duta rasmi berkenaan susulan Quaresma tidak dapat terbang ke Alor Setar pada 7hb April.
Ianya berikutan salah seorang ahli keluarganya telah dimasukkan ke hospital dan Quaresma memilih untuk berada disisi keluarga pada waktu yang sukar ini.
Pemain yang pernah beraksi bersama Sporting CP, Porto, Barcelona, Besiktas dan lain-lain kelab itu turut menyampaikan permohonan maafnya dan video itu telah dikongsikan oleh Kedah Darul Aman FC.
Quaresma mencadangkan tarikh baharu, 22hb April, untuk hadir ke Stadium Darul Aman namun pihak penganjur masih meneliti kesesuaian tarikh tersebut memandangkan Kedah Darul Aman FC bakal menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu FC.
Featured Image: Selecoes de Portugal