Southampton Tamatkan Khidmat Ivan Juric Selepas Tersingkir Daripada Liga Perdana

April 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan tercorot Liga Perdana (PL), Southampton mengumumkan menamatkan khidmat pengurus pasukannya, Ivan Juric sehari selepas disahkan tersingkir ke divisyen kedua bola sepak England pada musim hadapan.

Penamatan khidmat pengurus berusia 49 tahun berkenaan diumumkan sendiri oleh Southampton sehari selepas disahkan tersingkir susulan tewas di tangan Tottenham Hotspur dengan keputusan 1-3 pada aksi ke-31 Liga Perdana pada Ahad.

“Ivan datang ke Southampton pada masa yang sukar dan telah diberikan tugas untuk mencuba untuk meningkatkan skuad dalam situasi yang sukar. Malangnya, kami tidak melihat sebarang peningkatan prestasi yang diharapkan, tetapi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ivan dan stafnya atas kejujuran dan kerja keras untuk mempertahankan kedudukan kelab.” tulis kenyataan daripada Lembaga Southampton FC.

Sebagai rekod, Juric dilantik selaku Pengurus Southampton sekitar penghujung Disember lalu dengan kontrak selama 18 bulan menggantikan Russell Martin yang ditamatkan kontrak.

Sepanjang tempoh itu, Ivan dari Croatia telah mengendalikan 16 perlawanan dan hanya berhasil mencatatkan dua kemenangan serta satu keputusan seri dan selebihnya berakhir dengan kekalahan.

Sementara itu, berbaki tujuh lagi perlawanan PL, Lembaga Southampton memutuskan untuk melantik Simon Rusk sebagai Pengurus Sementara sambil dibantu oleh Adam Lallana.

Featured Image: Southampton FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd