Prajualan Tiket Man Utd Beraksi Di SNBJ Untuk Pemegang Kad Maybank Visa – Harga Bermula RM50
April 8, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab yang menghuni tangga ke-13 Liga Perdana (PL), Manchester United mengesahkan akan berkunjung ke Malaysia sebagai salah satu destinasi Jelajah 2025 yang dibawakan oleh Snapdragon.

Menerusi satu kenyataan rasmi oleh pihak kelab, kunjungan skuad berjulukan Red Devils adalah untuk menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 28hb Mei 2025 dengan sepak mula pada jam 8.45 malam.

Bersempena dengan pengumuman tersebut, prajualan eksklusif tiket bagi perlawanan berkenaan turut dilancarkan buat pengguna kad kredit dan kad debit Maybank Visa bermula jam 3.30 petang, 8hb April sehingga 11.59 malam, 11hb April 2025.

Sebanyak tujuh kategori tiket ditawarkan oleh penganjur buat peminat-peminat yang ingin menyaksikan perlawanan terbabit iaitu VIP (RM1,500), CAT 2 (RM780), CAT 3 (RM580), CAT 4 (RM380), CAT 5 (RM250), CAT 6 (RM100) dan CAT 7 (RM50).

Tiket terbabit boleh didapati di laman sesawang, Ticket Empire, bermula hari ini.

Pembelian tiket bagi Akses Awal MU pula dijadualkan bermula dari jam 11 pagi, 12hb April 2025 diikuti dengan Akses Awam pada 11 pagi, 15hb April 2025.

Sebagai rekod, ini merupakan kunjungan Manchester United yang pertama selepas kali terakhir menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada tahun 2009.

Selepas beraksi di SNBJ, skuad bimbingan Ruben Amorim ini akan terbang ke Hong Kong untuk menentang skuad kebangsaan negara berkenaan pada 30hb Mei 2025.

Komen