BAC 2025: Sze Fei-Izzuddin Bertemu Beregu No.1 Thailand Di Pusingan 16
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin menepati jangkaan apabila tidak mempunyai masalah untuk menempatkan diri di pusingan 16 Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.
Sze Fei-Izzuddin yang diletakan pilihan pertama kejohanan itu mara ke peringkat berkenaan selepas berhasil menundukkan juara Kejohanan Dunia BWF 2021 dari Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada pusingan 32.
Ianya merupakan pertembungan kelima melibatkan kedua-dua beregu berkenaan dan pertarungan pada hari ini dimenangi oleh Sze Fei-Izzuddin secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-16 dalam masa 37 minit.
Kemenangan berkenaan membawa Sze Fei-Izzuddin membuat perhitungan dengan beregu lelaki No.1 Thailand, Dechapol Puavaranukroih dan Kittinupong Kedren bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Terdahulu, Dechapol-Kittinupong berhasil melangkah ke peringkat yang sama selepas berhasil mengatasi cabaran daripada beregu Bangladesh. Al-Amin Jumar dan Moajjam Hossain Ohidul.
Dechapol-Kittinupong merakamkan kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-13 ke atas gandingan yang menduduki ranking ke-280 dunia berkenaan dalam masa 25 minit.
Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin dan Dechapol-Kittinupong pernah bertembung sebanyak satu kali sebelum ini di Terbuka Denmark 2024 pada Oktober lalu.
Ianya berakhir dengan Dechapol-Kittinupong melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-13 ke atas Sze Fei-Izzuddin dalam masa 32 minit pada pusingan 32 di kejohanan berkenaan.
Featured Image: BAC 2025