BAC 2025: Justin Mara, Jun Hao Kandas
April 9, 2025 Hafizuddin Omar

Nasib yang berbeza menimpa dua perseorangan lelaki negara yang beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Justin Hoh, 21 tahun, yang bermula daripada peringkat kelayakan berhasil meneruskan momentum kemenangannya di pusingan 32 mencetak kemaraan ke pusingan 16.

Kemenangan itu dilakar dengan menumpaskan pemain Korea yang menghuni ranking ke-40 dunia, Jeon Hyeok Jin menerusi tiga set permainan sengit yang berkesudahan dengan skor 14-21, 22-20 dan 21-16 dalam masa satu jam dan 19 minit. 

Hasil daripada keputusan itu, Justin akan menantikan cabaran samada daripada perseorangan Indonesia yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, Jonatan Christie atau pemain Jepun, Koki Watanabe.

Sementara itu, lain pula nasib yang menimpa perseorangan lelaki No.2 tanah air, Leong Jun Hao.

Pemain berusia 25 tahun berkenaan terpaksa akur terkandas di pusingan 32 selepas tewas secara “straight set” menerusi skor 11-21 dan 19-21 di tangan pilihan ketujuh kejohanan dari Chinese Taipei, Lin Chun-Yi.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan sulung Chun-Yi yang turut berusia 25 tahun ke atas Jun Hao selepas tiga kali bertemu di pentas antarabangsa.

Untuk makluman, kedua-dua pertemuan lalu di Masters Madrid Sepanyol 2024 dan Terbuka Hong Kong 2023 berpihak kepada Jun Hao dengan kemenangan secara “straight set”.

Featured Image: BAC 2025

Komen