BAC 2025: Pearly-Thinaah Tersingkir Awal
April 9, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tersingkir awal daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Biarpun diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan, status itu tidak dapat melindungi mereka daripada disingkirkan oleh beregu Korea yang menduduki ranking kesepuluh dunia, Kim Hye Jeong dan Kong Hee Yong.

Pearly-Thinaah ditunjukkan jalan keluar selepas tewas secara “straight set” di tangan Hye Jeong-Hee Yong menerusi skor 19-21 dan 26-28 dalam masa 58 minit.

Keputusan ini juga menjadikan Pearly-Thinaah kini tewas sebanyak tiga kali berturut-turut kepada lawan yang sama selepas tumpas di Terbuka India 2025 dan Masters Indonesia 2025.

Pada masa yang sama, kekalahan ini turut membuatkan Pearly-Thinaah mengulangi kekecewaan kandas di peringkat yang sama dalam BAC 2024 apabila tewas di tangan Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara.

Setakat ini, kempen Pearly-Thinaah di BAC hadir pada edisi yang berlangsung pada tahun 2022 dimana mereka berhasil mara sehingga peringkat suku akhir sebelum kempennya dinoktahkan oleh gandingan Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota.

Featured Image: BAC 2025

Komen