Mark Milligan Tinggalkan Harimau Malaya, Cari Peluang Di Luar Negara

April 10, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jodoh Mark Milligan, 39 tahun, bersama skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya nampaknya tidak bertahan lama.

Dimaklumkan Mark yang dilantik sebagai penolong ketua jurulatih telah pun meninggalkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk mencari peluang di luar negara.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh akaun-akaun media sosial rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT pada hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark Milligan atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.”

“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.”

“Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan.” ujar Peter.

Sejak menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya sekitar Februari lalu, Mark sempat membantu Peter menghadapi Nepal dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan F bagi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25hb Mac lalu menyaksikan Harimau Malaya berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 hasil jaringan Hector Hevel dan La’Vere Corbin-Ong. 

Destinasi Mark yang seterusnya belum dapat disahkan secara rasmi setakat ini. Namun, laporan media dari luar negara telah mengaitkan namanya untuk menggantikan Rob Stanton sebagai ketua jurulatih Newcastle Jets yang berpangkalan di Australia. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd